Ribuan banjiri ceramah terakhir Pakatan di bandar utama

12 tengah malam: Kempen selama 15 hari telah berakhir. Dan proses pengundian untuk pilihan raya umum ke-13 (PRU13) bermula jam 8 pagi esok.

Pengundi diminta untuk mengundi awal kerana hujan dan ribut petir dijangka berlaku di banyak tempat di seluruh negara ini pada sebelah petang.

Pengundian akan berakhir pada pukul 5 petang dan proses pengiraan undi akan bermula tidak lama selepas itu. Keputusan akan mula diketahui dari jam 8 malam.

Malaysiakini 
akan melaporkannya secara langsung sepanjang hari esok.

11.45pm – Ipoh: Calon Menteri Besar Pakatan Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin muncul di hadapan 50,000 hadirin di Jalan Laxamana, sambil mengetuai laungan “5 Mei, tukar kerajaan” dalam bahasa Cina.

Pengacara mengumumkan bahawa derma yang dikumpul untuk malam itu melebihi RM100,000 dan belum habis dikira.

11.15pm – Seremban: Empat puluh lima minit sebelum berakhir secara rasmi tempoh berkempen, kira-kira 10,000 orang membanjiri Taman Seremban Jaya untuk menghadiri ceramah terakhir DAP.

Orang ramai, yang sebahagian besarnya membawa payung kerana terdapat hujan renyai-renyai, menyanyi ‘Ubah’ dan beberapa lagu-lagu Cina bersama-sama dengan calon-calon DAP di atas pentas.

Malaysiakini