PAS optimis dapat tambah undi di Pulau Perhentian

KUALA BESUT: PAS optimis akan mendapat lebih undi dalam PRK Kuala Besut di unit peti undi (UPU) Pulau Perhentian berbanding PRU13 baru-baru ini.

Penyelaras UPU Pulau Perhentian Mohd Zaki Ibrahim berkata, pegangan politik penduduk di Pulau Perhentian sangat unik dan tidak sama di tempat lain dari segi emosinya.

Katanya, rata-rata pengundi di sini tidak terlalu menonjol dari segi kecenderungan mereka menyokong mana-mana parti.

“Kalau kita pergi ziarah dari rumah ke rumah mereka masing-masing boleh terima sama ada kita ini daripada PAS. Tuan rumah Umno boleh terima ziarah PAS.
“Kalau rumah mereka ada sticker ‘keluarga kami pengundi BN’ tidak semestinya mereka benar-benar undi BN. Mereka pengundi PAS,” katanya ketika ditemui berkempen di Pulau Perhentian.

Malah katanya, ketidakhadiran para pengundi dalam satu-satu program yang dianjurkan sama ada oleh PAS atau BN, bukan perkara yang menghairankan.
Bahkan beliau percaya calon PAS Azlan@Endut atau lebih mesra dengan Che Long mempunyai lonjakan dan sentuhan peribadi dengan penduduk di sini yang akan memberi kredit kepada PAS kali ini.

Sikap unik penduduk di sini katanya mereka tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan kerana mereka cukup mudah untuk mendapatkan sumber kewangan.
“Mereka di pulau ini cukup senang hendak dapatkan duit dengan pelancongan dan ternyata hasil mereka sangat lumayan.

“Banyak bot persendirian dan mereka boleh dapat RM300 dalam masa dua jam dengan bawa pelancong pusing pulau,” katanya.

HDO